MAYAT seorang gadis ditemui dalam keadaan tragis, di mana tubuh badannya disumbat dalam guni dalam keadaan kaki dan tangannya berikat, sebelum dicampakkan di kawasan sawah padi. Mayat Desy Lailatul Khoiriyah, 20, ditemui oleh seorang penduduk kampung yang kebetulan mahu mencari rumput untuk kambing peliharaannya di kawasan sawah di Desa Bulu Pasar, Daerah Kediri, Jawa Timur, pada 6 Julai lalu. Lebih mengejutkan, suspek yang disyaki melakukan pembunuhan kejam itu adalah bapa kandung mangsa sendiri yang dikenali sebagai Suprapto, 48 tahun. Menurut jurucakap polis, AKP Rizkika Atamdha Putra, suspek sudahpun berjaya ditahan di Tulungagung, pada Sabtu lalu. "Buat masa ini, mengenai motif dan cara pelaku melakukan tindakan terhadap mangsa akan dimaklumkan lebih lanjut setelah siasatan terperinci dilakukan,"katanya. Difahamkan, sehari sebelum mayat Desy ditemui, suspek bersama isterinya yang juga ibu mangsa, Sulastri, 47, mengunjungi rumah saudara mereka di Blitar. Ibu mangsa bagaimanapun bermalam di sana manakala suspek pulang ke rumah mereka. Keesokan harinya, suspek menjemput isterinya untuk pulang. Wanita itu hairan kerana tidak menemui anak gadisnya, Desy, di rumah. Suspek bagaimanapun berkata, Desy telah mendapat pekerjaan baru di kawasan daerah Lamongan, namun ibu mangsa meragui perkara tersebut. Ini kerana anak gadisnya tidak pernah memberitahu tentang rancangan untuk bekerja di Lamongan. Rasa tidak sedap hati Sulastri terjawab dengan berita penemuan mayat anak gadisnya pada hari yang sama. Sulastri mulai curiga bahawa pelaku utama dalam kes pembunuhan itu ialah Suprapto, suaminya dan bapa kandung kepada anaknya sendiri. Keterangannya kepada pihak polis mendorong kepada penangkapan lelaki tersebut. Selain kaki dan tangan yang berikat, beberapa kesan lebam turut dikesan pada anggota badan mangsa. -Tribunnews Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube