suria

Terlebih semangat dan teruja, pengantin lelaki hentak tangan waktu ijab kabul hingga pecah meja kaca

Tangkap layar video memaparkan momen lucu seorang pengantin lelaki yang tidak sengaja menghentak tangan wali sehingga meja pecah.

PERNIKAHAN adalah momen istimewa yang paling indah dalam kehidupan seseorang.

Apatah lagi pada hari berkenaan, seseorang akan disatukan dengan insan yang dicintainya.

Walaupun dilanda perasaan gementar namun mereka tetap bersemangat kerana bakal melangkah ke fasa yang baharu.

Begitulah juga halnya dengan seorang pengantin lelaki dari Indonesia ini.

Dek kerana terlalu bersemangat dan terlebih teruja, dia tanpa sengaja memecahkan meja kaca yang digunakan semasa upacara akad nikah.

Menerusi video yang dimuat naik dalam akaun Instagram @undercover.id, pada awalnya sesi akad nikah pasangan mempelai berkenaan kelihatan tenang dan lancar.

Bagaimanapun sebaik sahaja pengantin lelaki membaca lafaz kabul sambil memegang tangan wali, dia menghempaskan genggaman tangan ke atas meja kaca dengan bersemangat.

Hentakan itu menyebabkan kaca pada meja tersebut pecah dan mengejutkan tetamu yang menyaksikan majlis pernikahan berkenaan.

Pengantin lelaki itu bagaimanapun hanya tersenyum dan dengan tenang meneruskan lafaz sehingga selesai.

Video tersebut mengundang perhatian warga maya yang rata-ratanya terhibur melihat momen yang dianggap 'epik' itu. -Tribunnews

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain