KEJAM dan tidak berperikemanusiaan. Begitulah gambaran yang sesuai untuk kes pembunuhan melibatkan seorang kanak-kanak berusia enam tahun, Nao Hosaka, yang didakwa dipukul hingga mati di Tokyo, Jepun. Mayatnya kemudian disumbat ke dalam beg pakaian sebelum dibuang di padang rumput berhampiran rumahnya yang akhirnya ditemukan pada bulan lalu. Lebih menyayat hati apabila pelaku kepada perbuatan terkutuk tersebut adalah darah daging kanak-kanak itu sendiri iaitu ibu dan adik-beradiknya yang sudah didakwa di mahkamah pada Ahad. Suspek termasuk ibu Nao, Saki Hosaka, 34, abangnya Daichi, 32, dan kembar keluarga itu, Tomomi dan Asaka yang berusia 30 tahun. Nao dan neneknya, 57, tinggal bersama keluarganya itu di sebuah apartmen. Licik mengaburi mata penguatkuasa, Saki sebelum ditahan sempat membawa penyiasat ke kawasan berumput yang menjadi tempat pelupusan mayat Nao, kira-kira 800 meter dari apartmen itu. Saki memberitahu polis, empat beranak itu termasuk dirinya membawa mayat di dalam beg pakaian dari rumah mereka. Rakaman kamera menunjukkan Saki Hosaka dan anak-anaknya membawa sebuah bagasi yang mengandungi mayat Nao Hosaka. Empat suspek itu dilihat berjalan dengan membawa beg pakaian berhampiran rumah kanak-kanak itu kira-kira pukul 5 petang 19 Jun lalu berdasarkan rakaman video kamera keselamatan yang diperoleh dari kawasan kejiranan. Polis wilayah Hyogo mengesyaki Nao dipukul sehingga mati dengan paip logam pada 19 Jun lalu. Badan Nao mempunyai kesan lebam terutama di bahagian belakang badannya dan polis mengesyaki Nao didera setiap hari ketika dia masih hidup. Tanda awal Nao menjadi mangsa penderaan juga dapat dilihat apabila kakitangan taska yang dihadiri Nao mendapati wujud kesan lebam di bahu dan punggungnya pada April lalu. Selain itu, pada Mei lalu, seorang jiran berusia 20-an yang tidak didedahkan identitinya turut melihat Nao menangis di balkoni apartmen dan meminta bantuan. Punca kematian berkemungkinan akibat kejutan traumatik. Melihat kepada pukulan tanpa belas kasihan itu, polis sedang mempertimbangkan pertuduhan tambahan termasuk kerana meninggalkan mayat dan kegagalan membawa Nao ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Polis menyimpulkan, suspek sama ada berniat untuk membunuh atau tidak sengaja membiarkan Nao mati, yang juga sepatutnya membawa kepada kesalahan membunuh. Polis merampas beberapa objek berbentuk kayu termasuk paip logam dari tempat kejadian. - The Japan Times Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube