GARA-GARA mahu mengawal mimpi dalam tidur, seorang lelaki di Rusia sanggup mencipta teknologi yang hampir mengorbankan nyawanya. Lelaki dikenali Mikhail Raduga itu dilaporkan menebuk lubang pada tengkorak dan memasukkan cip ke dalam otaknya. Dia melakukan 'pembedahan' itu sendiri di apartmen dihuni di Novosibirsk, namun prosedur terbabit tidak menjadi seperti yang diharapkan. Raduga dikejarkan ke hospital selepas hilang seliter darah akibat kegagalan pembedahan yang dibuatnya sendiri selama empat jam itu. Menerusi ciapan di Twitter pada 18 Julai lalu, Raduga mengesahkan dia menjalankan sendiri prosedur itu. Raduga juga adalah penyelidik yang mengkaji keadaan minda disosiatif yang biasanya dirujuk sebagai pengalaman luar badan (OBE), unjuran astral dan mimpi. Katanya, dia memilih melakukan prosedur sendirian kerana menganggap kehadiran pakar akan menyukarkan lagi proses itu. Meskipun pembedahan itu menjejaskan kesihatannya, Raduga berharap hasil prosedur berkenaan akan membuka jalan bagi kemajuan teknologi kawalan mimpi di masa hadapan. - NDTV Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube