SEORANG doktor, isteri dan anak perempuan mereka ditahan berhubung kes pembunuhan seorang lelaki yang mayatnya ditemukan tanpa kepala di sebuah hotel. Runa Tamura, 29, dan bapanya, Osamu Tamura, seorang doktor berusia 59 tahun, ditahan pada Isnin kerana disyaki melakukan tindakan mencacatkan, memiliki dan meninggalkan satu mayat, memetik akhbar The Mainichi Shimbun. Pada Selasa, ibu Runa yang berusia 60 tahun, Hiroko, ditangkap atas tuduhan sama. Mayat Hitoshi Ura yang berusia 62 tahun ditemukan tanpa kepala dalam keadaan bogel di bilik air sebuah bilik hotel di Susukino, Sapporo, Jepun pada 2 Julai. Kepala manusia ditemui pada Isnin di rumah suspek, memetik sumber siasatan. Runa dan Osamu disyaki memenggal kepala lelaki itu di hotel. Mereka juga disyaki membawa kepala mangsa ke lokasi lain. Lelaki itu mati akibat luka tikaman dan dipenggal selepas kematiannya. ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki tanpa kepala muncul di puncak gunung, cerita sebenar buat ramai meremang Tiada tanda-tanda berlaku pergelutan di dalam bilik itu dan mangsa tidak mempunyai kesan kecederaan akibat mempertahankan diri. Polis sedang berusaha menentukan motif pembunuhan dan hubungan bapa dan anak perempuannya dengan Ura. Polis bagaimanapun enggan menyatakan sama ada suspek telah mengaku bersalah terhadap dakwaan itu. Pada 1 Julai, Ura dan seorang lagi individu yang dipercayai Runa mendaftar masuk ke hotel berkenaan sekitar jam 10.50 malam. Seseorang dilihat meninggalkan hotel itu bersendirian sekitar jam 2 pagi pada 2 Julai. Laporan itu mengatakan bahawa Osamu adalah pakar psikiatri di sebuah hospital di Sapporo. Dia disyaki menghantar dan menjemput Runa di hotel. Polis percaya Osamu tidak memasuki bangunan itu. Mayat Ura ditemukan oleh seorang pekerja hotel yang memeriksa bilik selepas dia tidak mendaftar keluar menjelang tengah hari. -The Straits Times/Asia News Network Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube