KEKUATAN seorang ibu baru-baru ini menjadi tular kerana rupa-rupanya 'mengalahkan' seorang pegawai polis. Kaum ibu di Jambi di Sumatera, Indonesia seolah-olah bertindak sendiri untuk menangkap pengedar dadah. Disebabkan tidak mahu menunggu tindakan polis, ibu di Jambi ini memilih untuk menyerbu sarang dadah di kawasan kejiranan sekitar rumah mereka sendiri. Mereka mendakwa telah melaporkan perkara itu kepada pihak polis, namun tiada sebarang tindakan yang dibuat. Kaum ibu di Jambi mengambil tindakan dan akhirnya terbongkar rumah tersebut dijadikan sarang dadah oleh pengedar yang tidak bertanggungjawab. Dipetik oleh Tribun Jawa Timur dari Kompas.com berdasarkan video yang tersebar, kelihatan sebilangan lelaki berlari keluar dari rumah. Ada di antara penagih dadah berlari sambil menjerit menyaksikan kemarahan wanita-wanita itu. Seorang wanita kemudian menunjukkan beberapa peralatan yang digunakan penagih dadah untuk mengambil bahan terlarang itu di dalam rumah. "Ini buktinya, kenapa kamu tidak ditangkap, ini buktinya!" kata wanita itu menjerit. Menerusi beberapa video, kelihatan banyak peralatan untuk mengambil dadah ditemui di beberapa bilik dalam rumah berkenaan. - Tribun Jatim Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube