suria

Kejam! Bapa rakam lempang muka anak 30 kali sampai bengkak, hantar video kepada ibunya

Video seorang bapa berkali-kali menampar muka bayinya menimbulkan kemarahan orang ramai. -SCMP

SEORANG lelaki menimbulkan kemarahan awam apabila merakam tindakan menampar anaknya berpuluh-puluh kali sebelum menghantar rakaman itu kepada bekas teman wanitanya yang juga ibu kepada bayi itu.

Menurut kenyataan kerajaan perbandaran Zhanjiang di wilayah Guangdong, selatan China, lelaki itu yang dikenali sebagai Deng, bergaduh dengan teman wanitanya, Chen, awal bulan ini, lapor Jimu News.

Dalam video menyayat hati yang dirakam sendiri pada 4 Julai lalu itu, Deng dilihat menampar wajah bayi lelakinya sekitar 30 kali dalam masa setengah minit.

Ketika bayi itu menangis, Deng dengan kejam terus memukul sehingga mukanya merah dan bengkak seperti mana dapat dilihat dalam video.

Deng nampaknya kecewa kerana terpaksa menjaga bayi itu seorang diri selepas Chen meninggalkannya.

Dia kemudian menghantar video yang dirakam kepada Chen, berharap wanita itu akan kembali, kata pihak berkuasa dalam kenyataan itu.

Bayi berkenaan bernasib baik apabila tidak mengalami kecederaan fizikal jangka panjang akibat penderaan itu dan kini diletakkan di bawah jagaan kerajaan tempatan.

Deng ditahan polis dan kes itu masih dalam siasatan.

Seorang peguam dari Firma Guaman Henan Zejin, Fu Jian, berkata tindakan Deng merupakan satu jenayah.

Video itu tular di media sosial China dan ramai yang marah dengannya.

"Sebagai ibu, saya menangis tengok video ini. Luluh hati lihat bayi itu. Lelaki ini patut dihukum berat. Ini tidak sepatutnya dilakukan oleh manusia.

"Pihak berkuasa harus membatalkan haknya untuk menjadi bapa, jika tidak bayi itu akan terus didera pada masa hadapan.

"Ibu budak lelaki itu juga harus dipersalahkan. Dia tak patut tinggalkan bayi itu dengan bapanya dan mengabaikan kehidupannya,” demikian antara komen netizen. -SCMP

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain