suria

Dulu hidup miskin, pemuda ini berjaya ubah nasib keluarga... Kini tersenarai dalam Forbes!

Irfan merupakan Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Teknologi (CTO) aplikasi Lumina.

TRI Ahmad Irfan membesar dalam keluarga serba kekurangan, namun dia kini berjaya tersenarai dalam majalah Forbes, di bawah kategori 30 Under 30 Asia untuk Social Impact.

Anak jati Indonesia yang juga pencipta aplikasi Lumina itu berkata, kedua ibu bapanya tidak bersekolah, sebaliknya hanya bekerja sebagai petani.

Bapanya juga pernah mengambil upah sebagai tukang pecah batu, manakala ibunya turut bekerja sebagai pembantu rumah.

Lebih memilukan, keluarga mereka hanya mengisi perut dengan beras bantuan daripada kerajaan dan tinggal di rumah yang berlantaikan tanah.

Kehidupan Irfan mula berubah apabila dia menyertai Kejohanan Olimpik Sains Nasional sehingga berjaya menerima biasiswa pendidikan dan melanjutkan pengajian di Fakulti Ilmu Komputer di Universiti Indonesia (UI) pada tahun 2013.

"Sejak UI, saya tergerak hati nak belajar programming dan membina perisian sehingga akhirnya dapat intern di Lembah Silikon di Amerika Syarikat.

"Setelah banyak belajar ilmu baharu, saya bangunkan aplikasi Lumina. Lumina adalah aplikasi cari kerja dan info pencari kerja di seluruh Indonesia," ujar Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Teknologi (CTO) Lumina itu.

Irfan mengakui dia mendapat inspirasi untuk membangunkan aplikasi itu daripada persekitarannya yang kebanyakannya bekerja sebagai buruh.

Sejak penubuhannya pada 2021, Lumina berkembang pesat sehingga memperoleh pembiayaan utama daripada Y Combinator (YC) dan Alpha JWC Ventures pada Januari 2022. - Detik.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain