suria

Bayi gelandangan OKU diculik pasangan 'berbasikal' untuk festival keagamaan

Pasangan ini menculik seorang bayi lelaki untuk anak perempuannya. -Gambar hiasan

PASANGAN suami isteri ditahan polis atas kesalah menculik seorang bayi berusia sebulan.

Menurut polis, jenayah tersebut dilakukan atas permintaan anak perempuan mereka yang ingin meminta saudara lelaki untuk mengikat ‘rakhi’ dalam sebuah festival keagamaan.

Memetik laporan NDTV, pasangan, Sanjay Gupta, 41, dan Anita Gupta, 36, dari Raghubir Nagar di Tagore Garden, India sebelum ini mempunyai anak lelaki berusia 17 tahun namun meninggal dunia tahun lalu.

Polis mendapat maklumat berhubung kes penculikan membabitkan bayi kepada gelandangan yang juga seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang tinggal di laluan pejalan kaki di Chhatta Rail Chowk.

Mereka mendakwa bahawa apabila terbangun kira-kira jam 3 pagi, bayi mereka sudah tiada dan mengesyaki seseorang menculiknya, kata seorang pegawai kanan polis.

Semasa siasatan, polis memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kawasan berhampiran dan melihat dua orang yang membawa basikal berkeliaran di kawasan itu.

Polis memeriksa rakaman 400 kamera CCTV di kawasan sehingga ke sebuah hospital dan mendapati suspek menggunakan basikal yang didaftarkan atas nama Sanjay untuk menculik.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Utara, Sagar Singh Kalsi berkata, Sanjay dan Anita mendedahkan bahawa anak lelaki mereka meninggal dunia selepas terjatuh dari bangunan pada 17 Ogos tahun lalu.

Anak perempuan mereka berusia 15 tahun meminta seorang saudara lelaki untuk mengikat 'rakhi' pada festival keagamaan yang akan datang.

"Jadi, mereka memutuskan untuk menculik seorang budak lelaki.

"Ibu bayi yang diculik itu mengalami kecacatan kedua-dua tangan dan kaki. Pasangannya pula adalah pencari barangan lusuh untuk dijual sebagai sumber rezeki.

“Mereka kehilangan tempat tinggal dan kini berteduh di laluan pejalan kaki," katanya.

Rekod jenayah lampau mendapati Sanjay seorang artis ukiran tatu sebelum ini terbabit dalam tiga kes jenayah.

Untuk makluman, rakhi adalah peristiwa istimewa secara tradisional diberikan kepada saudara lelaki daripada saudara perempuan untuk diraikan dengan mengikat benang suci di sekitar pergelangan tangan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain