GARA-GARA tersalah suntikan ubat, seorang kanak-kanak nyaris maut selepas mengalami masalah pernafasan kronik di samping muntah darah. Ia berikutan kecuaian perubatan yang berlaku di Wilayah Trang, di mana keadaan kanak-kanak lelaki berusia empat tahun bertambah teruk selepas didakwa menerima suntikan adrenalin yang salah oleh seorang jururawat. Dia pada awalnya dimasukkan ke sebuah hospital swasta kerana mempunyai gejala demam dan batuk pada 21 Jun. Keadaan tersebut membuatkan pihak hospital terbabit menahannya selama satu hari bagi memberi rawatan berkala dan pemantauan. Pun begitu, keadaannya semakin merosot selepas suntikan adrenalin diberikan seorang jururawat sehingga menyebabkan dia muntah darah yang teruk serta mengalami sawan. Ekoran itu, dia dikejarkan ke bilik kecemasan dan diberikan rawatan selama empat jam. Situasi yang semakin parah mengakibatkan dia dipindahkan ke Hospital Trang dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Pusat Selatan. Kanak-kanak berusia empat tahun itu tinggal di unit rawatan rapi (ICU) selama 12 hari, di mana dia didiagnosis mengalami overdosis adrenalin dan jangkitan pernafasan. Apabila keadaan budak lelaki itu stabil, hospital swasta mengaku melakukan kesilapan semasa proses preskripsi - doktor telah menetapkan semburan adrenalin, bukan suntikan adrenalin intravena. Insiden itu membuatkan ibu kepada kanak-kanak malang itu mendedahkan pengalaman pahit di media sosial sehingga mendapat perhatian Pejabat Kesihatan Awam Wilayah Trang yang kemudian memulakan siasatan terhadap kes itu. Menurut Ketua Pakar Perubatan Sinchai Rongdech, semburan adrenalin biasanya ditetapkan untuk pesakit yang sedar sepenuhnya, manakala adrenalin IV dikhaskan untuk pesakit dalam keadaan tidak sedarkan diri. Tambah kontroversi, jururawat yang memberikan suntikan itu dilaporkan merupakan pekerja sambilan hospital berkenaan. Walaupun kesihatan budak lelaki itu telah bertambah baik, dia terus mengalami hemiparesis, yang dicirikan oleh kelemahan separa pada satu sisi badan. Keluarga itu dijamin pampasan sekurang-kurangnya 870,000 baht (RM114,929), tetapi setakat semalam, tiada bayaran diterima. - Thaiger Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube