SIAPA sangka di sebalik mengalami masalah pelupa dan kemurungan, seorang wanita digemparkan dengan penemuan cacing parasit hidup dalam otaknya. Cacing parasit sepanjang 8 sentimeter itu dikeluarkan dari otaknya menerusi satu pembedahan. Wanita berusia 64 tahun itu menetap di New South Wales, Australia dan dimasukkan ke hospital pada Januari 2021 setelah tiga minggu mengadu sakit perut dan cirit-birit. Ia diikuti dengan batuk kering dan sering berpeluh pada waktu malam. Pada 2022, simptomnya bertambah termasuk menjadi pelupa dan kemurungan, dan keadaan itu mendorong pakar perubatan untuk merujuknya ke hospital Canberra. Imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) terhadap otaknya mendapati terdapat helminth motil iaitu cacing gelang parasit yang hidup di lobus hadapan kanan otaknya. Pembedahan merupakan satu-satunya pilihan, dan doktor berjaya mengeluarkan cacing gelang yang berukuran 8 sentimeter panjang dan diameter 1 milimeter diameter. Pakar perubatan mengesyaki wanita itu secara tidak sengaja termakan telur cacing dengan memakan rumput yang dicemari najis ular. Pemeriksaan cacing tersebut menunjukkan kaitannya dengan keluarga parasit yang biasanya khusus untuk ular. Ia merupakan penemuan pertama di dunia melibatkan cacing parasit yang menjangkiti manusia. Prosedur perubatan seterusnya mendedahkan tiada sebarang cacing tambahan yang tinggal di dalam badannya. - Sky News