SATU insiden pelik yang membuatkan ramai tertanya-tanya. Demikianlah kisahnya apabila nak kapal pesawat Swiss International Air Lines dilihat menari dan mengambil gambar atas sayap pesawat Boeing 777. Rakaman video insiden berkenaan menjadi tular selepas dimuat naik pelancong yang sedang menunggu dalam terminal lapangan terbang di Buenos Aires, Argentina. Video itu menunjukkan seorang pramugari menari atas sayap pesawat dan kemudian dia disertai oleh rakan setugas lelaki. Selepas itu, dilihat lelaki kedua, yang dipercayai sebagai ketua kabin kanan, muncul dan terus melakukan aksi seperti ahli bina badan. Klip itu juga memaparkan dua kru bergambar di depan enjin kapal terbang. Video itu dirakam pada awal bulan Ogos, dan ia mencetuskan kemarahan pengurusan Swiss International Air Lines. Bertindak balas terhadap klip tular itu, syarikat penerbangan berkenaan dalam satu kenyataan memaklumkan tingkah laku itu tidak boleh diterima. "Apa yang dirasakan seperti menyeronokkan dalam video itu sebenarnya boleh mengancam nyawa. "Sayap Boeing 777 adalah kira-kira lima meter tinggi. "Mereka yang terjatuh dari ketinggian itu boleh mengalami kecederaan yang serius," kata jurucakap Switzerland Air Lines, Michael Pelzer. Syarikat penerbangan itu sedang menjalankan siasatan dalaman dan menyeru supaya kakitangannya berhenti melakukan aksi sedemikian. - NDTV Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube