suria

Orang ramai bertempiaran lari! 2 maut insiden tembakan di pusat beli-belah terkemuka Bangkok

Seorang lelaki ditahan polis, disyaki menembak mati dua individu. -Gambar Reuters

DIKEMASKINI

POLIS menahan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang disyaki bersenjata selepas kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah mewah di Bangkok, Thailand, mengakibatkan dua maut.

Insiden tembakan itu turut mencederakan lima orang, manakala dua mangsa yang terbunuh merupakan warga asing.

Terdahulu dilaporkan sekurang-kurangnya tiga terbunuh dalam kejadian itu.

Jabatan siasatan polis Metropolitan di laman Facebook berkata, remaja yang disyaki sebagai penembak itu ditahan dan kini disoal siasat.

Perkhidmatan kecemasan berkongsi foto menunjukkan seorang pegawai polis menahan dan menggari seorang individu dalam keadaan terlentang di atas lantai.

Biro Siasatan Pusat sebelum ini menyiarkan imej kasar di laman Facebooknya mengenai seorang individu yang dikatakan sebagai lelaki bersenjata.

Video tersebut dikongsikan di media sosial menunjukkan kekecohan dengan orang ramai, termasuk kanak-kanak berlari keluar dari pusat beli-belah, manakala pengawal keselamatan turut membawa mereka keluar.

Salah satu video menunjukkan orang ramai berlindung di dalam bilik gelap di sebuah restoran, manakala televisyen secara langsung menunjukkan barisan lalu lintas yang panjang di luar pusat beli-belah dalam hujan lebat.

Perdana Menteri, Srettha Thavisin ketika mengulas kejadian itu berkata, dia turut menyuarakan kebimbangannya berhubung insiden tersebut.

“Saya maklum mengenai kejadian tembakan di Siam Paragon dan mengarahkan polis untuk menyiasat. Saya amat bimbangkan keselamatan awam," tulisnya di laman X. -Reuters

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain