SUSPEK insiden tembakan di pusat beli-belah terkemuka, Siam Paragon di Bangkok, pada petang Selasa mendakwa dirinya terdengar bisikan yang memberitahunya supaya 'menembak orang'. Ketua Polis Negara, Jeneral Torsak Sukvimol berkata, suspek yang merupakan seorang remaja berusia 14 tahun itu juga kelihatan berada 'dalam keadaan keliru' ketika disoal siasat di Balai Polis Pathumwan. Menurut Torsak, remaja tersebut pernah menjalani rawatan kesihatan mental di Hospital Rajavithi, namun beliau enggan mengulas lanjut memandangkan suspek di bawah umur. Siasatan polis mendedahkan, remaja itu memasuki pusat beli-belah Siam Paragon melalui BTS Link pada pukul 3.35 petang (waktu tempatan). Rakaman daripada kamera keselamatan menunjukkan suspek membawa beg sandang semasa berjalan ke tingkat M dan lima minit kemudian masuk ke tandas. ARTIKEL BERKAITAN: “Isteri peluk anak-anak, tunduk diri” – TMJ kongsi detik cemas lari bawah tanah insiden tembakan Siam Paragon ARTIKEL BERKAITAN: Orang ramai bertempiaran lari! 2 maut insiden tembakan di pusat beli-belah terkemuka Bangkok Bunyi tembakan kedengaran dari tandas pada pukul 4.10 petang, dan remaja itu kemudian keluar dan terus melepaskan tembakan. Pada pukul 4.25 petang, dia naik ke tingkat dua sambil melepaskan tembakan dan menuju ke tingkat tiga. Suspek berjaya ditahan polis di dalam kedai perabot di tingkat tiga. Suspek merupakan pelajar di sebuah sekolah swasta di Bangkok dan ibu bapanya merupakan tenaga akademik bergelar Profesor. Ketika polis menggeledah bilik di kediamannya, polis menemukan beberapa peluru termasuk 49 peluru 9mm dan 15 kelongsong peluru pelbagai saiz. Hasil pemeriksaan telefon bimbitnya, polis menemui video dia berlatih menggunakan senjata api. Insiden tembakan tersebut mengorbankan dua nyawa, masing-masing merupakan wanita warga China dan warga Myanmar. -Bangkokpost Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube