suria

Sayu... Masjid dibiayai rakyat Malaysia musnah menyembah bumi dibom Israel, bantuan kepada Palestin diteruskan

Masjid yang dibina hasil dana rakyat Malaysia musnah dibom Israel. -Gambar Muslim Care Malaysia

SAYU hati orang ramai terutama rakyat Malaysia, apabila sebuah masjid di Palestin yang dibina hasil usaha dan sumbangan rakyat Malaysia musnah gara-gara dibom oleh tentera Israel, pada Sabtu lalu.

Menurut badan bukan kerajaan (NGO), Muslim Care Malaysia Society, Masjid Muhammad Al Amin yang luas dan cantik untuk rakyat Palestin berjaya dibina hasil kutipan daripada orang ramai pada 2013.

"Retak hati berkeping-kepinbg melihat masjid tersergam indah yang dibiayai oleh rakyat Malaysia musnah akibat serangan bom oleh Israel.

"Pada penghujung 2013, Muslim Care Malaysia mencipta sejarah apabila berjaya membina masjid yang luas dan cantik untuk rakyat Palestin.

"Malangnya, di sebalik semua usaha dan sumbangan rakyat Malaysia, Masjid Muhammad Al Amin diratakan sepenuhnya dan tidak boleh digunakan lagi," katanya dalam hantaran di laman sosial NGO itu.

Walaupun masjid hasil dana rakyat Malaysia itu musnah menyembah bumi, namun usaha dan lebih banyak bantuan bakal disalurkan oleh badan tersebut bagi menyokong perjuangan saudara seislam di Palestin.

"Walaupun musnah, semangat jihad umat Islam tidak akan pernah pudar.

"Sekuat mana semangat saudara kita di Palestin, begitu juga dengan kekuatan hati kita untuk kita semua akan terus bersatu," katanya.

Terdahulu, sayap tentera Hamas, Briged Al Qassam, melancarkan serangan terbesar ke atas Israel pada Sabtu, susulan pencerobohan ke atas Palestin.

Kira-kira 5,000 peluru berpandu dilancarkan, selain pejuang Hamas berjaya melolosi sempadan yang berkubu kuat di beberapa lokasi melalui udara, darat dan laut.

Tentera Israel melancarkan 'Operasi Pedang Besi' terhadap pejuang Hamas sebagai tindak balas.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain