SERANGAN udara Israel melanda Semenanjung Gaza untuk hari keenam berturut-turut dengan rakyat Palestin dikepung. Israel pada Khamis memaklumkan bahawa ia telah menggugurkan 6,000 bom seberat 4,000 tan di Gaza dalam tempoh enam hari lalu, mengorbankan lebih 1,400 orang. Pegawai di Gaza berkata yang maut termasuk 447 kanak-kanak, 248 wanita dan 10 pekerja penjagaan kesihatan. Pada Khamis sahaja menyaksikan lebih 150 orang terbunuh. Seluruh kawasan kejiranan di Gaza yang menempatkan kediaman kepada 2.3 juta orang, separuh daripadanya kanak-kanak, telah musnah akibat pengeboman yang berterusan. Ia sekali gus memaksa lebih 330,000 rakyat Palestin meninggalkan rumah mereka dan mencari perlindungan. Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, angka kematian di Tebing Barat yang diduduki juga meningkat kepada 31 manakala lebih 600 orang cedera. Di pihak Israel, sekurang-kurangnya 1,300 orang terbunuh sejak kumpulan pejuang Hamas menyerang selatan Israel dan menawan sekurang-kurangnya 100 orang pada Sabtu. Israel mengenakan pengepungan sepenuhnya ke atas Gaza, memotong akses kepada makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api, ketika tenteranya bersiap sedia untuk kemungkinan serangan darat. -AlJazeera Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube