suria

Selepas masjid, hospital jadi sasaran, gereja tertua Gaza pula dibom pengganas Israel

Kepulan asap meletus semasa pengeboman Israel di Rafah di selatan Semenanjung Gaza pada 19 Oktober . -Gambar AFP

GEREJA tertua, Gereja Ortodoks Yunani Saint Porphyrius yang masih digunakan di Gaza dan menjadi tempat perlindungan orang awam termasuk mereka yang beragama Islam dibom oleh tentera Israel.

Rejim Zionis Isreal berterusan bertindak kejam bukan sahaja kepada umat Islam Palestin namun terhadap penganut agama lain.

Selepas mengebom hospital yang menyaksikan ramai umat Islam syahid dan cedera, kini pengganas Israel menghentam pula gereja.

Perkara tersebut disahkan kementerian dalam negeri pimpinan Hamas susulan beberapa orang pelarian yang berlindung di perkarangan gereja di Semenanjung Gaza telah terbunuh dan cedera selepas serangan Israel lewat Khamis.

Serangan itu menyebabkan 'sebilangan besar syahid dan cedera' di perkarangan Gereja Ortodoks Yunani Saint Porphyrius.

Saksi memberitahu AFP serangan itu ditujukan kepada sasaran yang berhampiran dengan tempat ibadat di mana ramai penduduk Gaza telah berlindung ketika serangan berlaku.

Tentera Israel ketika dihubungi memberitahu AFP, mereka sedang memeriksa serangan yang dilaporkan.

Saksi berkata, serangan itu merosakkan bangunan gereja dan menyebabkan bangunan bersebelahan runtuh, sambil menambah bahawa ramai orang yang cedera telah dipindahkan ke hospital.

Saint Porphyrius ialah gereja tertua yang masih digunakan di Gaza dan terletak di kawasan kejiranan bersejarah di bandar itu.

Gereja itu tidak jauh dari hospital Arab Al-Ahli di mana serangan Israel membunuh sekurang-kurangnya 471 orang pada hari Selasa menurut pihak berkuasa Hamas.

Gaza telah dilanda serangan bertubi-tubi Israel sebagai tindakan balas terhadap serangan militan Hamas pada 7 Oktober, yang menurut Israel membunuh sekurang-kurangnya 1,400 orang dengan kebanyakannya orang awam.

Pengeboman Israel sejak itu telah membunuh sekurang-kurangnya 3,859 rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, kebanyakannya orang awam, menurut kementerian kesihatan Hamas. - Al-Arabiya

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain