suria

Lelaki pesan makanan utama restoran tapi nak percuma... Sanggup baring atas lantai, pura-pura serangan jantung

Menu berasaskan lobster dan wiski antara hidangan yang dicubanya.

HANYA kerana ingin makan makanan mewah, seorang lelaki sanggup berpura-pura mengalami serangan jantung bagi mengelak daripada membayar bil.

Lelaki yang dikenali sebagai Aidas J., warga Lithuania yang kini menetap di Sepanyol, menipu 20 restoran di bandar Alicante sebelum dia dipenjarakan.

Semasa kejadian, dia akan menjatuhkan diri ke lantai dan memegang dadanya seolah-olah mengalami sesak nafas seperti mereka yang mengalami sakit jantung.

"Ia sangat kelakar, dia berpura-pura pengsan dan merebahkan dirinya di atas lantai," pengurus El Buen Comer, salah satu kedai makan yang ditipu lelaki tersebut.

Aidas juga meminta rawatan perubatan untuk masalah 'jantung' dan pihak restoran hanya mengetahuinya apabila dia cuba melakukannya kali kedua.

Seorang lagi pekerja restoran memberitahu akhbar Sepanyol El Pais tentang aksi lelaki tersebut yang berbaring di atas lantai, bertindak seolah-olah dadanya sakit dan mula menggeletar.

Bagi 'menjayakan' lakonannya, Aidas memakai 'pakaian berjenama' dan berpura-pura menjadi pelancong Rusia yang tidak berbahasa Sepanyol.

Pengurus El Buen Comer menghantar gambar Aidas ke restoran lain di kawasan itu untuk memberi amaran kepada mereka sekali gus menghalangnya daripada terus menipu.

Seorang lagi pemilik restoran yang menjadi sasaran Aidas berkata, dia telah memesan beberapa gelas wiski mahal, salad Rusia dan hidangan utama seperti entrecote atau lobster sebelum dia memalsukan serangan jantung.

Dia kini dipenjarakan selama 42 hari selepas menolak membayar dua denda yang diterimanya kerana penipuan.

Memandangkan setiap bil yang dilangkaunya dianggap sebagai jumlah kecil antara RM75 hingga RM353 (€15 hingga €70), Aidas hanya melakukan 'jenayah kecil'.

Pun begitu, penipuannya berlarutan selama dua bulan, di mana dia telah ditangkap beberapa kali tetapi dilepaskan kerana hanya berhutang kecil kepada setiap restoran.

Tetapi pemilik restoran yang ditipu mahu memfailkan aduan bersama untuk memenjarakannya lebih lama.

Insiden makan dan lari berjumlah kira-kira RM3,871 (€766) dalam bil gabungan. - Daily Mail

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain