SEORANG pegawai Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) meletak jawatan sebagai memprotes keputusan Washington meningkatkan bantuan ketenteraan kepada Israel. Keputusan itu dibuat setelah pegawai itu berpandangan perang di Gaza yang disokong AS hanya akan membawa kepada lebih banyak penderitaan untuk Israel dan Palestin. Josh Paul yang sebelum ini merupakan Pengarah di Biro Hal Ehwal Politik-Ketenteraan Jabatan Negara dalam satu nota yang ditulis dalam talian pada Rabu berkata pentadbiran Presiden Joe Biden mengulangi kesilapan sama seperti dilakukan Washington selama beberapa dekad. "Saya bimbang kita mengulangi kesilapan sama yang dilakukan sejak beberapa dekad lalu dan saya enggan menjadi sebahagian daripadanya lebih lama," katanya. Untuk rekod Paul sebelum ini terlibat dalam Biro Hal Ehwal Politik Ketenteraan dan bertanggungjawab dalam pemindahan senjata kepada sekutu AS itu selama lebih dari 11 tahun. Hamas, kumpulan bersenjata yang memerintah Gaza melancarkan serangan ke atas selatan Israel pada 7 Oktober, menyebabkan rejim Zionis bertindak balas terhadap kawasan Palestin. Serangan itu telah membunuh sekurang-kurangnya 1,400 orang di Israel dan hampir 3,500 di Gaza. -Al-Jazeera