KEKANGAN yang dialami disebabkan serangan udara Israel ke atas sebuah hospital di Semenanjung Gaza menyebabkan pasukan doktor di hospital berkenaan terpaksa mencatu bekalan perubatan. Bukan itu sahaja, pembedahan terpaksa dilakukan menggunakan cahaya dari telefon bimbit manakala luka yang dijangkiti dirawat menggunakan cuka. Lebih menyayat hati apabila, Pengarah Kecemasan Hospital Nasser di Khan Younis, Dr Mohammad Qandeel menyatakan pihaknya terpaksa membiarkan beberapa pesakit meninggal dunia kerana tidak mempunyai mesin ventilator. Malah katanya, kekurangan katil dan bekalan bahan api di samping kakitangan yang tidak mencukupi menyebabkan tugas menyelamatkan nyawa sukar. "Sejak awal pagi lalu (Rabu), kami menerima 80 pesakit yang cedera parah, 12 mayat yang terbunuh selepas serangan udara. "Antara pesakit yang cedera kami tinggalkan dua orang untuk menghadapi kematian kerana tidak mempunyai ventilator. Mereka tiba dalam keadaan hidup. "Sebelum beberapa hari terakhir kami menghantar panggilan untuk komuniti manusia dari hospital, kami tidak mempunyai minyak. Hari ini (Khamis), kami bekerja dengan pesakit guna lampu mudah alih sahaja... tidak dapat menyelamatkan lebih banyak nyawa," luahnya. Terdahulu, tular video menunjukkan seorang pakar bedah menjahit lengan pesakit di dalam wad yang gelap sambil beberapa yang lain memancarkan lampu dari telefon mereka. Hospital-hospital di Palestin terpaksa mencatu bekalan perubatan yang semakin berkurangan dan bahan api untuk penjana, sementara menunggu penghantaran bantuan yang amat diperlukan dari Mesir yang masih belum masuk. Rakaman lanjut menunjukkan orang awam berlumba-lumba ke tempat kejadian serangan udara berhampiran hospital untuk membantu mereka yang cedera di celah runtuhan. Responden berpakaian seragam kelihatan membawa seorang pesakit ketika orang ramai menjerit. Perjanjian bekalan dengan Mesir untuk mendapatkan bantuan ke Gaza melalui Rafah, satu-satunya lintasan wilayah yang tidak dikawal oleh Israel, masih samar. Lebih 200 trak dan kira-kira 3,000 tan bantuan diletakkan berhampiran Rafah, tetapi kerja-kerja pembaikan masih belum dimulakan untuk membaiki jalan di sebelah Gaza yang rosak akibat serangan udara. Israel telah mengebom Gaza, menyerang kawasan di selatan di mana rakyat Palestin telah diberitahu untuk mencari perlindungan ketika ia mula memindahkan sebuah bandar besar Israel di utara berhampiran sempadan Lubnan. - Mirror Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube