suria

Israel bakal tingkatkan serangan di Gaza, beri tekanan kepada Hamas

Kanak-kanak ditempatkan di dalam khemah selepas rumah mereka musnah akibat serangan udara Israel. -Gambar Reuters

SITUASI kemanusiaan di Semenanjung Gaza disifatkan sebagai 'bencana'," kata lima agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Sabtu.

Susulan itu, mereka meminta lebih banyak bantuan antarabangsa selepas keadaan semakin merosot di enklaf pantai yang padat dengan penduduk.

Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas Israel menyatakan ia akan meningkatkan serangannya di Gaza untuk memberi tekanan ke atas Hamas.

Malah pegawai kanannya memberi amaran kepada tentera supaya bersedia memasuki wilayah Palestin yang terkepung.

Kenyataan oleh agensi PBB itu dibuat ketika trak pertolongan cemas tiba di Gaza dari Mesir pada Sabtu.

“Lebih 1.6 juta orang di Gaza sangat memerlukan bantuan kemanusiaan.

“Kanak-kanak, wanita hamil dan warga emas kekal paling terdedah. Hampir separuh daripada penduduk Gaza adalah kanak-kanak.

“Gaza adalah situasi kemanusiaan yang terdesak sebelum permusuhan terbaharu, ia kini bencana. Dunia mesti melakukan lebih banyak lagi," kata kenyataan daripada agensi termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan UNICEF.

Tiga lagi agensi yang menandatangani kenyataan itu ialah Program Makanan Sedunia, agensi pembangunan UNDP dan UNFPA, dana penduduk.

Sejak serangan Hamas yang mengejutkan ke atas Israel pada 7 Oktober yang mengakibatkan 1,400 maut, Israel telah melancarkan pengeboman udara dan darat yang dahsyat ke atas Gaza.

Pihak berkuasa Hamas berkata 4,385 orang telah meninggal dunia. - AlArabiya

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain