SELEPAS 16 tahun penantian zuriat, seorang bapa, Fadi Khaled Al-Baba diuji hebat apabila bayi kembar empatnya menjadi korban kekejaman tentera Zionis dalam insiden pengeboman di Gaza. Selain empat bayi, Fadi turut kehilangan isterinya, Wafaa Abdul-Khaliq Al-Sweirki dalam serangan Israel, beberapa hari lalu. Fadi dan Wafaa baharu menyambut kelahiran kembar empat mereka pada 7 September lalu. Keempat-empat bayi tersebut yang diberi nama Khaled, Abdul-Khaliq, Mahmoud dan Maha, terkorban bersama Wafaa apabila kediaman mereka di kejiranan Sheikh Radwan di Gaza, menjadi sasaran bom Israel. Salah seorang saudara kepada Fadi, Yafa Abu Aker ketika ditemubual media tempatan berkata, Fadi dan Wafaa dikurniakan empat orang bayi kembar selepas bertahun-tahun menunggu dengan penuh kesabaran. "Dia (Fadi) tidak bercakap tentang apa-apa selain anak-anaknya. Dia tidur dan bangun di sebelah mereka," katanya. Fadi tabah mengebumikan jenazah keempat-empat bayi dan isterinya meskipun serangan udara Israel di kejiranan Sheikh Radwan masih berterusan. Sehingga kini, angka kematian di Gaza direkodkan melebihi 4,000 orang. -Watanserb Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube