suria

Isteri larang suami main TikTok kerana cemburu, akhirnya dipukul sehingga maut

Suspek ditahan pihak berkuasa tempatan dan dibawa ke balai polis Cibinong.

SEORANG lelaki di Bogor, Indonesia tergamak memukul isterinya selepas mangsa melarangnya daripada bermain aplikasi TikTok.

Ketua Polis Daerah Bojonggede, Robinson berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 8 malam waktu tempatan di rumah pasangan tersebut.

Berdasarkan keterangan anak perempuan pasangan itu yang hanya mahu dikenali sebagai, N, 11, perbalahan bermula apabila ibunya yang mesra disapa El melihat akaun TikTok bapanya, Adi Pratama.

Melalui akaun TikTok tersebut, El mendapati Adi sering melihat akaun bekas kekasihnya yang sudah meninggal dunia.

“Adi melihat akaun perempuan yang dikenali mangsa sebagai bekas kekasih suaminya, namun sudah meninggal dunia,” kata Robinson.

Akibat cemburu, El melarang Adi menggunakan TikTok.

Adi kemudian pulang ke rumah sekitar pukul 8 malam di mana dia segera menyerang isterinya.

“Dia memarahi isterinya kerana cemburu dengan wanita yang sudah mati, memukul dan mencengkam mangsa berulang kali selain menghantuk kepala mangsa pada dinding,” tambah Robinson.

Setelah puas mendera isterinya, Adi segera melarikan diri dari rumah dan meninggalkan isterinya yang cedera.

“Selepas dipukul, mangsa mengalami pening dan muntah. Sekitar pukul 9.30 malam, keluarga membawanya ke hospital dan dia disahkan meninggal dunia,” jelas Robinson.

Sehari selepas kejadian, Adi ditahan polis di Daerah Cibinong.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain