suria

Makhluk aneh berbau busuk terdampar di darat gemparkan penduduk, didakwa menyerupai ikan duyung

Makhluk aneh yang terdampar di Pulau Simberi didakwa mirip ikan duyung. -Gambar NIO

PENDUDUK kampung di wilayah Ireland Baru, Papua New Guinea dikejutkan dengan penemuan makhluk aneh yang didakwa mirip ikan duyung.

Gumpalan daging makhluk tersebut yang berbau busuk dan berwarna putih itu ditemui terdampar di Pulau Simberi, sebuah pulau gunung berapi kecil di Laut Bismarck, pada Sabtu.

Foto mengenai penemuan makhluk aneh itu menjadi tular selepas dimuat naik laman Facebook New Irelanders Only (NIO).

Saintis dan pakar hidupan laut tidak dapat memastikan sifat sebenar makhluk aneh itu, tetapi mereka percaya ia berkemungkinan makhluk laut dan bukannya makhluk mistik.

Menurut Live Science, makhluk aneh tersebut dikenali sebagai globster, iaitu jisim organik tidak dikenali yang hanyut ke darat.

Asal usul makhluk atau gumpalan misteri itu sukar untuk dihuraikan kerana kebanyakan bahagiannya telah reput dan sebahagiannya sudah hilang.

Tiada maklumat mengenai saiz dan berat makhluk itu kerana ia tidak diukur dengan betul sebelum penduduk tempatan mengebumikannya, kata wakil NIO kepada Live Science. -NDTV

TONTON VIDEO PILIHAN DI INSTAGRAM MSTAR!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain