TIBA-TIBA menjadi tahanan perang pastinya memberikan mimpi buruk kepada sesiapa sahaja. Begitulah yang dialami seorang warga emas berusia 85 tahun ini apabila dia ditangkap dan dijadikan tebusan oleh pejuang Hamas selepas serangan 7 Oktober lalu. Berkongsi pengalaman tersebut, tebusan rakyat Israel Yocheved Lifshitz berkata, dia diculik oleh lelaki bersenjata dan dibawa ke dalam terowong di Gaza. Dia yang merupakan salah seorang daripada dua tebusan yang dibebaskan Hamas pada Isnin turut menceritakan detik ditarik keluar dari rumah di kibbutz Nir Oz sebelum dihalau menggunakan motosikal ke arah Gaza. "Perbuatan yang menyakitkan," katanya yang turut mendakwa dipukul dan mengalami lebam. Lifshitz berkata dia terpaksa berjalan di atas tanah basah dan turun ke dalam sistem terowong bawah tanah yang diumpamakan seperti sarang labah-labah. Dua tebusan yang dibebaskan Hamas. Pun begitu, dia mengakui disambut oleh individu yang menyatakan mereka percaya kepada al-Quran dan berjanji tidak membahayakan tebusan. "Individu itu memberitahu bahawa 'kami percaya kepada al-Quran' dan berjanji 'tidak akan membahayakan' tebusan," katanya. Lifshitz berkata dia pada mulanya dikumpulkan bersama 25 orang lain sebelum penculik memisahkannya ke dalam kumpulan yang lebih kecil dengan empat individu lain dari Kibbutz. Dia berkata, mereka tidur di atas tilam di atas lantai terowong, makan makanan yang sama seperti pejuang Hamas dan menerima rawatan daripada doktor semasa dipenjarakan. "Mereka benar-benar menjaga aspek kebersihan supaya kami tidak jatuh sakit," tambah Lifshitz. Lifshitz turut memuji pejuang Hamas kerana melayaninya dengan baik dan berperikemanusiaan. Dia sempat bersalaman dengan seorang anggota militan yang melepaskannya serta mengucapkan salam dalam bahasa Herbew, 'shalom'. - CNN Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube