SEORANG bayi pramatang yang berusia 10 hari dianggap sebagai simbol kemenangan terhadap pencerobohan Israel. Masih berada dalam unit rawatan rapi neonatal Hospital al-Shifa, bayi kecil itu memakai tag merah jambu di buku lali yang menyatakan dia sebagai "anak Maryam al-Harsh". Menurut ketua unit neonatal Dr Nasser Bulbul, pihaknya mendapat panggilan dari Hospital Kamal Adwan di utara Gaza pada 13 Oktober yang menyatakan seorang wanita hamil cedera parah dan sedang menghembuskan nafas terakhir. “Terdapat serangan udara di rumahnya, dan seluruh keluarganya, kesemua 10 anggota termasuk suaminya, terbunuh,” ujarnya. Susulan daripada itu, pembedahan caesarean kecemasan dilakukan ke atas wanita terbabit yang ketika itu sedang hamil 32 minggu. "Bayi lelakinya dikeluarkan dari rahim dan masih hidup dengan degupan jantung yang lemah. "Bayi itu dipindahkan ke al-Shifa, di mana dia segera diletakkan pada pengudaraan mekanikal, bersama 54 bayi pramatang lagi. "Kini, dia semakin pulih," kata Bulbul. Pun begitu, bayi terbabit mengalami iskemia serebrum, iaitu kecederaan otak akut yang berpunca daripada gangguan aliran darah ke otak akibat kematian ibunya sebelum dia dilahirkan. Tiada saudara yang datang untuk menuntut bayi itu, tetapi Bulbul dan pasukan jururawat tetap menjaganya. "Setiap kali saya memeriksanya, saya dicengkam dengan kesedihan dan kesakitan. “Tetapi selagi dia masih hidup, dia memberi kita kekuatan dan harapan agar kita dapat mengatasi hari-hari yang dahsyat ini. Malah kesabaran untuk menahan kengerian yang kita lihat setiap hari," kata doktor itu sambil menunjukkan peristiwa traumatik yang membawa kepada kelahiran bayi itu. Israel melancarkan serangan terbarunya di Semenanjung Gaza pada 7 Oktober sebagai membalas dendam ke atas serangan bersenjata Hamas pada hari yang sama. Pengeboman udara ke atas Gaza berterusan tanpa henti dan Israel mengenakan pengepungan total ke atasnya, memotong air, elektrik dan bahan api dari loji kuasa tunggal. - Al Jazeera Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube