SEKURANG-KURANGNYA 700 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara rejim Israel dalam tempoh semalaman. Angka itu dikhuatiri meningkat. Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf Al-Qidra berkata ia adalah jumlah kematian tertinggi dalam masa 24 jam sejak Israel mengebom Gaza dua minggu lalu. Saksi dan pegawai kesihatan berkata, banyak serangan udara melibatkan bangunan kediaman, sebahagian daripadanya di selatan Gaza. "Satu serangan semalaman (Selasa) meratakan bangunan kediaman empat tingkat di bandar selatan Khan Younis. "Ia membunuh sekurang-kurangnya 32 orang dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain," kata mangsa yang terselamat kepada agensi media The Associated Press. Sementara itu wartawan agensi berita Al Jazeera, Youmna ElSayed turut melaporkan tentang suasana getir di lokasi konflik. “Beribu-ribu keluarga dipindahkan serta-merta. Kawasan tersebut hanya penuh dengan runtuhan dan serpihan di mana-mana. “Anda boleh mendengar bunyi dron dan jet Israel di langit. Semua orang merasakan bahawa tidak ada tempat yang selamat untuk berlindung,” katanya. Selain mengebom wilayah itu, Israel turut menyekat akses kepada makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api ke Gaza. Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 40 pusat perubatan menghentikan operasi kerana kekurangan dan kerosakan harta benda akibat pengeboman. Beberapa trak bantuan menyeberang dari Mesir ke Gaza sejak Ahad, tetapi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran tentang serangan kemanusiaan jika penghantaran bantuan tidak ditingkatkan dengan ketara. Jurucakap Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia (OHCHR), Jeremey Laurence berkata, bantuan yang disambung semula dari Mesir pada hujung minggu adalah satu keperluan-Al Jazeera Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube