ABDULRAHMAN dan keluarganya merupakan antara sejumlah rakyat Palestin yang mengembara ke selatan di sepanjang Jalan Salah al-Din - lebuh raya utama yang menghubungkan utara dan selatan Gaza. Perpindahan mereka berikutan letupan besar yang berlaku hanya beberapa ratus meter dari tempat mereka berada. Pada Jumaat 13 Oktober, ketika sejumlah keluarga menuju ke selatan berikutan perintah pemindahan Israel dan jaminan pergerakan selamat, sekurang-kurangnya 70 orang terbunuh dalam serangan udara ke atas kenderaan yang meninggalkan Bandar Gaza. "“Terselamat daripada serangan udara itu adalah seperti satu keajaiban," kata Abdulrahman Ammar yang ketika itu berada di dalam kereta bersama lima adik beradik perempuan dan ibu bapanya. "Lori yang diserang dipenuhi ramai orang. Berpuluh-puluh keluarga," imbas pemuda berusia 26 tahun itu dengan wajahnya yang kelihatan pucat. "Selepas serangan itu, kami melihat mayat bergelimpangan di seluruh jalan. Kami merasakan sudah tiba masanya untuk kami juga mati," ujarnya lagi. Seorang wanita Palestin dibantu untuk berpindah berikutan serangan udara Israel yang melanda kawasan kejiranannya di Bandar Gaza. -Gambar AP Serangan itu pada mulanya menyebabkan Abdulrahman dan keluarganya 'lumpuh' dengan ketakutan dan keraguan. "Kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan - kembali atau teruskan perjalanan ke depan. "Tapi kami terus bergerak ke arah selatan dan berlindung di sebuah sekolah," katanya. "Kami bukan sahaja mengalami kekurangan bekalan harian seperti makanan dan air tetapi, sebagai keluarga enam wanita, tiada privasi," kata Sanaa, adik perempuan Abdulrahman yang berusia 25 tahun. "Kami melarikan diri dari ketakutan... di sekolah, kami terpaksa beramai-ramai dalam satu bilik darjah dengan ruang seluas hampir enam meter persegi, yang menempatkan 30 orang asing yang lain," tambah Sanaa. Wanita dan kanak-kanak tinggal di dalam sekolah manakala lelaki tidur di luar. Bagaimanapun, selepas beberapa hari di pusat perlindungan, dan bimbang pengeboman semakin hampir dan kekurangan kemudahan penting, mereka merasakan tidak mempunyai pilihan selain pulang ke rumah mereka di Bandar Gaza. "Kami tidak mempunyai banyak pilihan," kata Abdulrahman mengenai keputusan keluarganya. Pada hari berkenaan, Abdulrahman dan keluarganya tidak menemui teksi, jadi mereka berjalan sejauh hampir 6 kilometer untuk pulang ke rumah. "(Kami) peluk beg kami dan berjalan mengikut corak 'zigzag' supaya kami mengurangkan risiko kemungkinan dicederakan oleh mana-mana serangan udara berhampiran," kata Abdulrahman. Ketika itu, kata Abdulrahman, bom menghujani di mana-mana di sekeliling mereka. Bapa Abdulrahman, Suliman kemudian bersuara apa yang ditakuti orang lain untuk berkata dengan lantang: "Bagaimana jika kami terkena serangan udara, sama seperti yang berlaku kepada mereka yang menaiki trak?" Isteri dan anak-anaknya terdiam. Walaa, yang berusia pertengahan 20-an berkata: "Kalau begitu kami semua akan mati. Ia semudah itu." "Ia adalah lebih baik, jika anda semua tahu, bukan? Tiada rasa lapar, tiada dahaga, dan lebih penting - tiada rasa takut. "Kami akan mendapat kedamaian abadi - kedamaian yang membuatkan kami tenang daripada semua yang membuat kami menderita dan mati perlahan-lahan setiap hari," katanya. - Al Jazeera Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube