SEORANG bayi dilahirkan melalui pembedahan caesarean, tidak jauh dari runtuhan kediamannya di Semenanjung Gaza. Navine Abu Owdah, 30, diselamatkan dari bawah runtuhan apartmennya, awal minggu ini. Wanita hamil itu mengalami beberapa patah tulang dan pendarahan di perut selepas Israel mengebom rumahnya, dalam serangan yang kini memasuki hari ke-19. Dia dikejarkan ke hospital di Khan Younis, selatan Gaza, di mana beribu-ribu penduduk Palestin telah melarikan diri selepas arahan daripada tentera Israel untuk berpindah dari utara. ARTIKEL BERKAITAN: 'Bayi ajaib' simbol kemenangan! Doktor kongsi kisah wanita hamil maut dibom, janin 32 minggu terselamat Doktor dengan pantas melakukan pembedahan caesarean dan wanita itu berjaya melahirkan bayi perempuan yang ‘sihat’. "Pembedahan caesarean dilakukan di jabatan kecemasan, dan bayi perempuannya selamat dilahirkan dalam keadaan baik," kata Dr Salim Saqer, ketua pembedahan di hospital Nasser. Owdah kini masih dalam pemerhatian dan sedang menerima rawatan untuk kecederaannya. Seperti Owdah, ramai wanita hamil berdepan dengan keputusan yang mustahil setiap hari di Gaza - sama ada untuk meninggalkan rumah mereka, bagaimana untuk melindungi diri mereka dan anak-anak dan di mana untuk bersalin apabila sistem penjagaan kesihatan lumpuh. - Metro UK Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube