suria

Israel serang kompleks perubatan terbesar di Gaza, dakwa Hamas kendali ‘command centre’ di tapak hospital

Hospital Al-Shifa ialah kemudahan perubatan terbesar di Gaza. -Gambar Reuters

ISRAEL telah melancarkan serangan terhadap tiga hospital di Gaza, termasuk kompleks perubatan terbesarnya, demikian menurut Kementerian Kesihatan di wilayah tadbiran Hamas itu.

"Israel kini mengambil langkah berbahaya untuk menyasarkan orang yang berlindung di dalamnya, serta pesakit dan kakitangan perubatan," kata jurucakap Kementerian Kesihatan, Ashraf al-Qudra kepada Al Jazeera.

Tentera Zionis mendakwa Hamas mengendalikan pusat koordinasi arahan (command center) di tapak hospital, termasuk pintu masuk ke rangkaian terowongnya yang luas, yang mana ia dinafikan oleh Hamas dan pegawai hospital.

Bagaimanapun, Israel tidak segera mengulas mengenai laporan serangan terbaharu tersebut.

Ketua Pengarah Hospital Al-Shifa, Mohammad Abu Salmiya berkata, serangan berkenaan menjejaskan orang awam yang berada berhampiran petugas media.

"Ramai yang terkorban termasuk kecederaan kritikal. Ia boleh menjadi pembunuhan beramai-ramai kerana bilangan orang di kompleks ini," kata Abu Salmiya kepada Al Jazeera.

"Sebelum itu, mereka mengebom sebuah bangunan di persekitaran hospital. Dan kini, berlaku pertempuran hebat dekat hospital," katanya.

Serangan ke atas Al-Shifa adalah yang terbaharu dalam siri serangan yang dilaporkan di atau berhampiran hospital Gaza City sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Minggu lalu, tentera Israel mengebom ambulans di luar hospital, membunuh 15 orang, menurut pegawai Palestin. -Aljazeera

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain