suria

Atlet paralimpik mengamuk di majlis perkahwinannya, tembak mati 4 individu termasuk pengantin perempuan sebelum ambil nyawa sendiri

Lima individu termasuk pasangan pengantin maut dalam insiden tersebut. -Gambar TheNation/Asia News Network

MOMEN bahagia sebuah majlis perkahwinan di Thailand bertukar tragedi selepas pengantin lelaki melepaskan tembakan rambang sehingga mengorbankan empat individu termasuk pengantin perempuan.

Pengantin lelaki, yang dikenali sebagai Chaturong Suksuk dan merupakan atlet paralimpik Thailand, kemudian menembak mati dirinya sendiri.

Insiden itu berlaku pada malam Sabtu (25 November) di daerah Wang Nam Khieo, wilayah Nakhon Ratchasima, yang terletak di timur laut Thailand.

Chaturong, 29, dengan pasangannya, Kanchana Pachunthuek sudah berpacaran selama tiga tahun sebelum mereka memutuskan untuk melangsungkan perkahwinan.

Tetamu mendakwa Chaturong kelihatan kurang gembira sewaktu majlis perkahwinannya.

Dia dilihat meninggalkan majlis buat seketika sebelum kembali dengan sepucuk pistol 9mm.

Dia kemudian melepaskan tembakan ke arah Kanchana, ibu dan adik perempuan wanita itu yang mengorbankan nyawa ketiga-tiga mangsa.

Tembakan rambang yang dilepaskan turut terkena dua tetamu, dengan salah seorang daripada mereka meninggal dunia.

Chaturong kemudian bertindak menembak dirinya sendiri, menjadikan jumlah keseluruhan individu terkorban dalam kejadian ngeri itu kepada lima orang.

Polis sedang menyiasat motif pembunuhan itu.

Siasatan awal polis mendapati pasangan pengantin bertengkar sebelum kejadian tembakan tersebut.

Saksi mendakwa pertengkaran itu tercetus disebabkan sikap Chaturong yang meragui pasangannya akan meninggalkan dirinya kerana tidak sempurna.

Untuk rekod, Chaturong merupakan bekas tentera yang kehilangan kaki kanannya dalam kemalangan kereta api dan dia yang juga atlet renang paralimpik Thailand. -Straitstimes

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan