PIHAK berkuasa China sedang menyiasat sebuah hospital susulan berlakunya insiden seorang pakar bedahnya yang didakwa menumbuk pesakit ketika sedang melakukan pembedahan. Kejadian itu dirakam dalam klip yang tular di media sosial China baru-baru ini sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai. Menerusi video itu, seorang pakar bedah dilihat menumbuk kepala pesakit sekurang-kurangnya tiga kali semasa sedang melakukan pembedahan mata. Aier China, yang mengendalikan rangkaian hospital mata berkata, kejadian itu berlaku semasa satu operasi pembedahan di hospitalnya di Guigang, sebuah bandar di barat daya China. Pesakit adalah seorang wanita berusia 82 tahun dan didapati menghadapi isu ekoran bius yang diberikan, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan. Situasi itu menyebabkan pesakit menggerakkan kepala dan bola matanya beberapa kali. Kumpulan induk hospital terbabit, Aier China, dilapor sudah menggantung perkhidmatan pakar bedah terlibat dan memecat ketua pegawai eksekutif hospital. -BBC Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube