SEORANG wanita Australia berusia 62 tahun dibenarkan untuk mendapatkan semula sperma suaminya yang telah meninggal dunia selepas mahkamah membenarkan permintaannya untuk berbuat demikian. Wanita itu meyakinkan hakim bahawa dia dan suaminya telah merancang untuk mempunyai anak lagi sebelum lelaki tersebut meninggal dunia, baru-baru ini. Pasangan itu pada asalnya mempunyai dua cahaya mata tetapi anak lelaki sulung mereka yang berusia 31 tahun maut dalam kemalangan kereta pada 2019. Enam tahun sebelumnya, anak perempuan mereka yang berusia 29 tahun mati lemas ketika memancing. Selepas kematian dua anak, wanita itu membuat keputusan untuk menggunakan sperma suaminya bagi mendapatkan cahaya mata menggunakan kaedah ibu tumpang. Bagaimanapun, sebelum rancangan ini dapat direalisasikan, suaminya meninggal dunia pada 17 Disember 2023 dan isteri - yang tidak boleh dinamakan atas sebab undang-undang - meminta pihak hospital mengambil spermanya. Pihak hospital meminta dokumen undang-undang untuk berbuat demikian, memaksa wanita itu memohon kepada Mahkamah Agung Australia Barat untuk meneruskan hasratnya. Hakim Fiona Seaward membenarkan sperma suaminya diambil dan disimpan tetapi memerlukan perintah mahkamah yang berasingan untuk menggunakannya untuk persenyawaan. - Kompas. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube