suria

Gara-gara kemaruk tempat duduk kelas pertama, lelaki bikin kecoh dalam pesawat

Pergaduhan tercetus dalam pesawat kerana penumpang mahukan tiket kelas pertama secara percuma.

SEORANG penumpang membuat kekecohan kerana mahukan tempat duduk di kelas pertama pesawat secara percuma.

Penumpang penerbangan China itu pada mulanya hanya membayar dua tiket untuk tempat duduk kelas pertama.

Tetapi dia kemudiannya meminta satu lagi tempat duduk kelas pertama secara percuma untuk anaknya yang sedang meragam di kelas ekonomi.

Menurut laporan, lelaki itu bertengkar dengan kru kabin ketika penerbangan dari Beijing ke Chengdu pada 30 Disember tahun lalu.

Lelaki itu berkata, disebabkan dia telah membeli dua tiket kelas pertama, dia harus dibenarkan menaik taraf tiket untuk seorang ahli keluarganya dari kelas ekonomi secara percuma.

Dalam sebuah klip video yang dirakam oleh seorang penumpang bernama Zhao, lelaki itu dilihat dikelilingi sekumpulan orang ramai termasuk pramugari, pengawal keselamatan dan penumpang.

Zhao berkata, pergaduhan itu bermula pukul 11 pagi (waktu tempatan) apabila anak lelaki penumpang itu yang berusia dua tahun mula menangis.

Kanak-kanak itu pada asalnya duduk di kelas ekonomi tetapi lelaki itu meminta kru kabin menaik taraf tempat duduk anaknya kepada kelas pertama.

Apabila permintaannya ditolak dia menjadi marah. Lelaki itu bertegas bahawa dia berada di pihak yang betul dan berhak untuk menaik taraf tiket penerbangannya.

Polis akhirnya tiba dan mengiringi lelaki itu keluar dari pesawat pada pukul 2 petang (waktu tempatan).

Zhao berkata, 300 penumpang lain berasa geram kerana peberbangan itu ditangguhkan selama tiga jam dan mereka terpaksa menempah semula tiket penerbangan. - South China Morning Post

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain