suria

10 tahun dating lebih 100 wanita, lelaki ‘baby face’ masih bujang

Aktiviti mencari jodoh begitu popular di China sejak beberapa tahun kebelakangan ini. -Gambar hiasan Baidu

SEORANG lelaki berusia 45 tahun berkata, dia layak mempunyai isteri yang tinggi dan cantik kerana dirinya kelihatan muda dan bujang.

Lelaki dari China itu berkata demikian selepas melalui lebih 100 janji temu.

Wang Zhihui, seorang pencari jodoh berusia 70 tahun yang terkenal di Hangzhou, wilayah Zhejiang di timur China, telah mengaturkan banyak 'blind date' untuk lelaki itu sejak sedekad lalu.

Dia berkata, lelaki itu yang bernama Feng, amat mementingkan dirinya dan sangat selektif tentang calon isteri.

Feng menegaskan, calon isterinya mesti dilahirkan selepas 1990-an, cantik, ketinggian tidak kurang daripada 160 sentimeter (sm), dan mestilah berasal dari Hangzhou.

Feng yang berketinggian 172sm berkata, dia tidak akan menerima wanita yang ketinggian 159sm ke bawah kerana dia 'perlu mempertimbangkan generasi akan datang'.

Ia sekali gus memberi bayangan bahawa dia mahu mempunyai anak pada masa depan.

Dia memberitahu Wang dia berhak memilih kerana dia mempunyai wajah 'baby face' dan kelihatan muda.

Wang berkata, harapan Feng terlalu tinggi.

Walaupun dia seorang warga tempatan Hangzhou dan jurutera di institusi awam, yang biasanya dianggap sebagai kelebihan dalam pasaran mencari jodoh, katanya, lelaki itu tidak muda dan mempunyai masalah pertuturan.

Bagaimanapun, Wang berkata, masalah terbesar Feng adalah lelaki berkenaan terlalu kedekut.

Menurutnya, lelaki itu tidak membeli minuman untuk pasangan janji temunya meskipun Wang beberapa kali memberi isyarat dia perlu membelinya.

"Mungkin lebih baik dia kekal bujang," kata seorang di Douyin.

"Berwajah 'baby face' tidak akan menjadi faktor akan dipertimbangkan oleh wanita," kata seorang lagi. - SCMP

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain