POLIS Thailand menahan dan mendakwa seorang lelaki warga Kanada di Lapangan Terbang Chiang Mai kerana cuba membuka pintu pesawat yang sedang bersedia untuk berlepas dalam kejadian pada Rabu. Menurut portal Channel News Asia, lelaki berusia 40 tahun itu bertindak demikian kerana mendakwa dia diekori seorang lelaki yang cuba membunuhnya. Dia cuba membuka pintu kecemasan pesawat yang dijadual terbang ke Bangkok. Lelaki itu menjerit mengatakan seorang lelaki berpakaian hitam cuba membunuhnya. Menurut Timbalan Ketua Penyiasatan di Balai Polis Phu Ping Ratchaniwet, Nattawut Noisorn, insiden itu menyebabkan kelewatan kepada lebih 12 penerbangan. "Dia didakwa dengan dua pertuduhan, pertama menyebabkan kecederaan kepada orang lain di dalam pesawat dan tidak mengikut arahan kakitangan pesawat. "Dia memberitahu kami dia membuka pintu kerana seseorang dalam pesawat itu cuba membunuhnya. Dia sangat panik," kata Nattawut Noisorn. Tambahnya polis sedang menyiasat sama ada dia menggunakan sebarang bahan terlarang sebelum menaiki pesawat atau mengalami sebarang penyakit mental. Susulan kejadian, Thai Airways mengeluarkan kenyataan memberitahu penerbangan itu berlepas tiga jam lewat daripada masa yang dijadualkan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube