suria

Pinjam parang jiran konon nak sembelih ayam, remaja nekad tetak bapa tiri... Berang ibu sering didera

Orang kampung mengusung mangsa yang parah ditetak seorang remaja yang juga anak tirinya, ke hospital. -Gambar Serambinews

BERANG selepas mendapat tahu ibu kandungnya sering didera suami baharu, seorang remaja bertindak nekad menetak bapa tirinya sehingga lelaki tersebut cedera parah.

Kejadian dilaporkan berlaku di daerah Garut, Jawa Barat, Indonesia pada 29 Januari lalu.

Remaja yang hanya dikenali sebagai R didakwa melakukan perbuatan tersebut sebagai membalas dendam kerana si bapa tiri sering mendera ibunya.

Pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Polis Garut, AKP Ari Rinaldo berkata, hasil siasatan awal mendapati, remaja tersebut menjadi berang selepas diberitahu rakan-rakan bahawa ibunya sering menerima layanan kasar daripada bapa tirinya.

Pelaku kemudian pergi ke rumah jiran untuk meminjam parang dengan alasan untuk menyembelih seekor ayam.

Dia bagaimanapun menetak bapa tirinya dengan parang tersebut sehingga mangsa parah, biarpun cuba ditenangkan penduduk kampung.

"Penjenayah itu adalah remaja bawah umur, anak tiri mangsa. Mangsa selamat dan kita masih menyiasat motifnya," katanya sambil menambah, mangsa kini menerima rawatan rapi di Pusat Kesihatan Komuniti Limbangan.

Video insiden berkenaan turut tular di laman media sosial. -Serambinews

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain