suria

Pelancong Korea hilang sejak awal Mei ditemukan mati, mayat disimen dalam tong

Mayat manga disimen di dalam sebuah tong plastik sebelum ia dibuang di kawasan takungan air di Pattaya.

SEORANG lelaki Korea yang hilang sejak awal bulan ini ditemukan maut disimen di dalam sebuah tong plastik di Pattaya, Thailand, pada Sabtu.

Menurut kenyataan Kedutaan Korea di Thailand, mangsa yang dikenali sebagai Roh memasuki Thailand pada 30 April.

Pada 7 Mei, ibu lelaki itu menerima panggilan telefon yang meminta wang tebusan berjumlah RM393,787.

Suspek memberitahu wanita itu bahawa anaknya telah menyebabkan mereka kerugian besar dengan 'membuang dadah' dan mengugut untuk membunuhnya.

Penculik juga mengancam untuk memotong anggota badan Roh dan menjual organnya di pasaran gelap jika wang tebusan tidak dibayar menjelang 8 Mei.

ARTIKEL BERKAITAN: Orang kampung jumpa mayat lelaki dibungkus dalam kain sarung... Kepala hampir putus daripada badan!

Si ibu segera melaporkan kejadian itu kepada kedutaan Korea di Thailand, yang kemudiannya meminta kerjasama daripada polis negara berkenaan.

Roh dilaporkan mempunyai seorang isteri warga Thailand yang berkata dia kali terakhir melihat Roh pada 2 Mei di sebuah pub di kawasan Royal City Avenue di Bangkok.

Polis memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati Roh diiringi oleh dua lelaki sebelum menaiki sebuah kereta sewa menuju ke Pattaya kira-kira jam 2 pagi pada 3 Mei.

Siasatan akhirnya membawa kepada penemuan sebuah tong plastik berisi simen di kawasan takungan air di Pattaya.

Polis menghantar penyelam sebelum menemukan mayatnya disimen di dalam tong berkenaan.

Polis Thailand mengenal pasti tiga suspek, dipercayai warga Korea.

Seorang daripada mereka melarikan diri dari Thailand pada Khamis, manakala dua lagi masih dikesan. - Korean JoongAng Daily

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain