suria

Misteri kehilangan remaja terjawab selepas 26 tahun! Rupanya diculik, dikurung jiran hanya 100 meter dari rumah

Kiri Omar ketika sebelum diculik, kanan Omar selepas ditemui. -Foto EnnaharTv

SEORANG remaja yang hilang 26 tahun lalu ditemui masih hidup, rupanya selama ini berada di bilik bawah tanah di rumah jirannya, hanya kira-kira 100 meter dari kediaman keluarganya.

Dalam kejadian di Algeria pada 1998, Omar Omran ketika itu berusia 19 tahun dilaporkan hilang dalam perjalanan ke sekolah vokasional.

Omar yang kini berusia 45 tahun diselamatkan dari rumah tersebut pada Ahad lalu, selepas diculik dan dikurung jirannya selama bertahun-tahun.

Menurut Pejabat Peguam Negara Djelfa, penculiknya merupakan seorang lelaki berusia 61 tahun yang tinggal bersendirian, dan kini ditahan polis.

Tangkap layar video Omar ketika ditemui di bilik bawah tanah. -Foto EnnaharTv

Pasukan penyiasat dilaporkan mendapat maklumat daripada keluarga mangsa selepas satu hantaran yang dibuat oleh adik suspek di media sosial, mendedahkan suspek terlibat dalam penculikan itu.

Hantaran tersebut dibuat ketika perebutan harta pusaka antara suspek dan adiknya.

Pihak berkuasa kemudian membuka semula siasatan dan melakukan pemeriksaan ke atas rumah suspek sehingga menemui pintu rahsia di sebalik jerami di atas lantai.

Pendakwa raya memberitahu, mereka menemui Omar di belakang pintu sebelum dia dibawa ke pusat kesihatan untuk menjalani rawatan dari segi fizikal dan psikologi.

Sementara itu, ahli keluarga lain sebelum ini percaya Omar terbunuh semasa perang saudara di negara itu pada 1990-an dan awal 2000-an.

Bagaimanapun, naluri ibunya merasakan anaknya daripada sembilan beradik itu masih hidup.

Malangnya, ibu Omar yang tidak pernah berhenti mencari anak lelakinya, meninggal dunia pada 2013.

"Tolong, jangan berhenti mencari Omar. Saya pasti dia masih hidup," menurut laporan itu mengenai hasrat terakhirnya. - New York Post

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain