SEORANG ustazah berusia 35 tahun di sebuah sekolah asrama meninggal dunia dipercayai dibunuh oleh pelajarnya sendiri. Suspek yang merupakan pelajar berusia 13 tahun menikam gurunya di rumah mangsa di kawasan sekolah asrama. Kejadian berlaku di Desa Bukit Tunggal, Palangkaraya, Kalimantan Tengah di Indonesia. Ketua Polis Palangkaraya Kombes Pol Budi Santosa berkata, motif suspek adalah membalas dendam kerana pernah beberapa kali dihukum oleh mangsa. Menurutnya, suspek didakwa melakukan beberapa pelanggaran peraturan sehingga dikenakan hukuman dengan cara berjemur di tengah panas. "Sehari sebelum kejadian, suspek melakukan satu lagi pelanggaran peraturan dan kemudian dihukum menyalin dua juzuk al-Quran," kata Budi dipetik sebagai berkata menerusi Tribunkalteng.com. Pada masa ini, polis masih menjalankan siasatan dan memeriksa keadaan mental suspek. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, suspek mendakwa melakukan pembunuhan itu kerana dirasuk dan tidak menyedari melakukan perbuatan tersebut sehingga membunuh gurunya sendiri. "Suspek memecah masuk rumah mangsa melalui tingkap yang tidak berkunci dan kemudian mengambil pisau yang ada di dapur. "Suspek menghampiri mangsa yang sedang tidur di bilik dan menikam muka dengan lapan tikaman, manakala satu tikaman di bahagian dada," ujar Budi. Suspek bukan sahaja menikamnya, malah turut memukul mangsa di bahagian mata kanan. Jeritan mangsa meminta tolong membuatkan seorang guru lain bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati mangsa berlumuran darah. "Mangsa dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia kerana mengalami banyak pendarahan," jelas Budi. Sebagai peringatan, perbuatan ini adalah salah di sisi undang-undang dan dilarang dalam Islam, maka semua pihak harus menjauhinya. - Kompas Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube