PELBAGAI cara dilakukan ibu bapa masa kini bagi mendisiplinkan anak-anak tanpa menggunakan kekerasan. Tidak terkecuali, pasangan suami isteri dari China yang meminta anak lelaki mereka bermain gitar dan menyanyi di jalanan demi mengumpul wang untuk membayar pampasan akibat kerosakan yang telah dilakukan di sekolahnya. Pada 17 Mei, seorang budak lelaki berusia lapan tahun dari wilayah Shaanxi di barat laut China bermain gitar dan menyanyi di luar untuk mengumpul wang. Papan tanda di tempat muziknya berbunyi, "Saya merosakkan dinding sekolah dan perlu mendapatkan 300 yuan (RM195) untuk pampasan". Difahamkan, bapanya yang dikenali sebagai Huang menyatakan, tindakan tersebut dilakukan kepada anaknya bagi mengajar kanak-kanak tersebut untuk bertanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan. Ia berikutan anaknya membuat coretan di dinding yang sedang diubah suai di sekolah rendahnya dan selepas berbincang dengan pihak sekolah, pampasan akan diberikan. Justeru ujarnya, diharapkan melalui persembahan jalanan, dia dapat belajar bertanggungjawab. "Dia membuat persembahan selama tiga hari, satu jam setiap hari dan memperoleh cukup untuk membayar pampasan," kata Huang. Pendekatan yang dilakukan Huang mendapat banyak pujian di media sosial. "Thumbs up untuk kaedah pengajaran ini yang menggalakkan anak lelaki membayar untuk kelakuannya. “Persembahan jalanan juga boleh meningkatkan keyakinan budak itu dan meningkatkan kemahiran gitarnya. Ia benar-benar strategi menang-menang,” ujar beberapa warga maya. - South China Morning Post Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube