SEORANG lelaki berusia 23 tahun bertindak memukul abang iparnya menggunakan botol kaca kerana berang permintaan mendapatkan wang saku tidak dilayan. Menerusi satu kenyataan, mangsa yang dikenali sebagai Zulfikar mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dikejarkan ke Hospital Wilayah Langsa, Indonesia untuk mendapatkan rawatan. Unit Siasatan Jenayah Polis Langsa, Inspektor Mulyadi memaklumkan keluarga mangsa datang melaporkan kejadian itu susulan tidak dapat lagi menahan sabar dengan kelakuan tertuduh. “Suspek pada mulanya datang ke rumah mangsa dan memarahi keluarganya kerana tidak memberikan wang. Pertelingkahan kemudiannya tercetus sehingga akhirnya kepala Zulfikar dipukul dengan botol kaca oleh suspek. "Mangsa memberikan keterangan bahawa suspek juga sering membuat onar dan kejadian sedemikian bukanlah yang pertama kali berlaku. "Ada kalanya masalah yang timbul terpaksa diselesaikan oleh campur tangan orang kampung susulan tertuduh bertindak ganas," jelasnya. Suspek kini ditahan bagi siasatan lanjut. -Serambinews Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube