SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun menjadi mangsa penculikan. Namun siapa sangka, penculiknya adalah ibu kandungnya sendiri. Kejadian berlaku di Johar Baru di Jakarta Pusat, Indonesia. Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Metro Jakarta Pusat, AKBP Chandra Mata Rohansyah berkata, bapa mangsa berusia 34 tahun membuat laporan polis mengenai kehilangan kanak-kanak itu, pada Jumaat. "Berdasarkan nombor plat motosikal, Pasukan Unit Siasatan Jenayah mencari alamat di kawasan Bojong Gede, Bogor dan berjaya menahan suspek berusia 33 tahun dan 32 tahun," kata Chandra dalam kenyataan pada Ahad. Chandra berkata, salah seorang suspek merupakan ibu kepada mangsa. Berdasarkan pengakuan suspek, dia nekad berbuat demikian kerana merindui anaknya yang sudah tiga tahun terpisah selepas bercerai dengan bekas suami. Bagaimanapun katanya, kes tersebut telah diselesaikan secara baik. Menurutnya, bapa mangsa bersetuju untuk menyelesaikannya secara baik dengan bekas isteri. -OkeNews Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube