suria

Leka sangat tengok TV, bapa denda anak perempuan penuhkan air mata dalam mangkuk

Tangkap layar menunjukkan kanak-kanak itu cuba mengisi air mata ke dalam mangkuk.

TINDAKAN seorang bapa menghukum anak perempuannya yang berusia tiga tahun dengan menyuruhnya memenuhkan air mata ke dalam satu mangkuk kaca mencetuskan kontroversi di media sosial.

Kejadian berlaku sewaktu bapanya sedang menyediakan makan malam dan menyuruh kanak-kanak perempuannya itu datang ke meja makan.

Namun kanak-kanak dikenali sebagai Jiajia ini tetap leka menonton televisyen dan tidak mengendahkan permintaan bapanya.

Dalam keadaan marah, si bapa bertindak mematikan suis televisyen hingga menyebabkan anaknya menangis.

Dia kemudiannya membawa sebuah mangkuk kaca kosong lalu diserahkan kepada Jiajia.

"Awak boleh menonton TV sekali lagi apabila air mata awak memenuhi mangkuk ini," ujarnya.

Video yang dirakamkan oleh ibu Jiajia itu kemudian tular sehingga meraih lebih 220,000 tanda suka selepas dikongsikan menerusi aplikasi Douyin yang popular di China.

Dalam rakaman yang dimuat naik, kelihatan anak kecil itu memegang mangkuk di bawah mukanya untuk menadah air mata yang jatuh dan berusaha untuk menghasilkan lebih banyak lagi.

Tetapi selepas lebih 10 saat, dia memberitahu ibu bapanya bahawa ia merupakan satu kerja yang mustahil untuk dilakukan.

Selepas itu, bapa Jiajia hanya menyuruh anaknya ini tersenyum untuknya.

Difahamkan, kejadian berlaku di Yulin, Guangxi Zhuang berlokasi di China.

Walaupun ramai orang yang bersetuju Jiajia merupakan seorang kanak-kanak comel tetapi beberapa individu lain mengkritik tindakan bapanya itu.

“Mendidik kanak-kanak seperti ini akan membuatkan mereka membina sifat-sifat negatif. Kanak-kanak belajar bahawa mereka boleh menyelesaikan masalah dengan cara yang melampau.

"Apabila anda sudah tua dan tidak dapat menjaga diri sendiri, anak perempuan ini akan memberi mangkuk dan memberitahu anda untuk mengisinya dengan air mata sebelum boleh mendapatkan makanan," komen netizen. -AGENSI

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain