KEBAKARAN sebuah bangunan komersial empat tingkat di Don Mueang, Bangkok, Thailand menyebabkan 21 ekor kucing mati dan lima lagi cedera. Kebakaran berlaku pada 10.20 malam, Ahad di kawasan perumahan di Lorong Chang Akat Uthit 15, Don Mueang. Polis tempatan berkoordinasi dengan pasukan bomba dan penyelamat dari Don Mueang dan Yayasan Ruamkatanyu di Bangkok untuk bertindak pantas terhadap kebakaran. Sebaik tiba di lokasi kejadian, asap tebal dan api kelihatan berkepul-kepul dari tingkat dua bangunan komersial empat tingkat itu. Anggota bomba segera melakukan pemadaman bagi mengelak api daripada terus merebak. Meskipun tidak melibatkan kemalangan jiwa, namun 'pemandangan kebakaran' yang menyapa penyelamat sungguh menyayat hati. Di dalam bilik di tingkat dua, 21 ekor kucing bergelimpangan tidak bernyawa. Lima kucing lain ditemui mengalami sedutan asap dan segera diberikan oksigen oleh anggota penyelamat. Polis kini menyoal siasat pemilik bilik terbabit untuk mengumpul maklumat lanjut dan akan bekerjasama dengan jabatan forensik bagi menentukan punca sebenar kebakaran. Bagaimanapun, siasatan awal menunjukkan bahawa litar pintas elektrik mungkin menyebabkan kebakaran, lapor KhaoSod. - Thaiger Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube