suria

Setiausaha eksekutif maut terjatuh tingkat 14 kondominium... Keluarga dedah mangsa kemurungan ‘terbelit’ hutang

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di kaki lima kondominium di kawasan Bang Sue, Bangkok. -Foto KhaoSod

SEORANG setiausaha eksekutif berusia 37 tahun maut secara tragis selepas terjatuh dari tingkat 14 sebuah kondominium di kawasan Bang Sue, Bangkok, lapor Thaiger.

Polis menerima laporan mengenai kejadian sekitar pukul 5 pagi, pada Rabu.

Mangsa yang dikenali sebagai Jitsupa, ditemui dalam keadaan tertiarap di kaki lima kondominium setinggi 25 tingkat itu.

Menurut pakar forensik, mangsa maut akibat kecederaan parah termasuk keretakan pada tengkorak selain patah pada beberapa anggota badan.

Menurut ahli keluarga mangsa, wanita tersebut bekerja sebagai setiausaha eksekutif di sebuah syarikat terkenal dan tinggal bersendirian di kondominium itu.

Mereka mendedahkan bahawa mangsa berkemungkinan mengalami tekanan akibat hutang sehingga kemurungan.

Dikhabarkan, mangsa sebelum ini meminjam wang berjumlah 50,000 baht (sekitar RM6,438.500) daripada saudara mara dan mempunyai hutang tambahan daripada pelbagai sumber.

Malah, mangsa pernah menerima rawatan di Hospital Rajavithi akibat kemurungan yang dihadapinya.

Siasatan awal polis turut menyimpulkan bahawa kemurungan yang dihadapi mangsa menjadi penyebab kepada kematiannya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Phra Mongkut untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematiannya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain