LULUH hati seorang bapa melihat sendiri keadaan anak perempuannya yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Difahamkan mangsa yang masih muda dipercayai dipukul suaminya sendiri. Kedua-dua mangsa dan suaminya berusia 19 tahun. Video yang menunjukkan si bapa menangis itu tular di media sosial. Menerusi rakaman tersebut, kelihatan mata mangsa bengkak dan tangannya mempunyai kesan lebam, dipercayai dipukul. Kejadian berlaku di Desa Kuhanga, Kecamatan Bintauna, Kabupaten Bolaang Mongondow Utara (Bolmut) di Sulawesi Utara, Indonesia. Ketua Polis Bolmut, AKBP Juleigtin Siahaan menerusi Ketua Unit Siasatan Jenayah Inspektor, Dolly Irawan mengesahkan kejadian berlaku. Menurut Inspektor Dolly, suspek ditahan polis untuk siasatan lanjut berhubung dakwaan melakukan keganasan rumah tangga. Sementara itu, motif keganasan rumah tangga dipercayai dilakukan kerana cemburu. Dolly berkata, sejurus sebelum kejadian, suspek didakwa bertanya siapa teman lelaki pertama mangsa. Suspek kemudian berasa marah, sebelum memukul mangsa menggunakan tangan dan menendangnya bertubi-tubi. "Suspek yang cemburu melakukan penderaan ini sehingga mengakibatkan mangsa cedera dipukul," ujarnya. Tambah Dolly, kes tersebut masih dalam siasatan polis. -Kumparan Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube