suria

Berang adik perempuan kerap diganggu, dua beradik bunuh pekerja kilang dengan sabit

Mangsa dibunuh menggunakan sabit di hadapan rumahnya. -Foto Muhajir Arifin/detikJatim

DUA lelaki yang merupakan adik-beradik nekad membunuh seorang pemuda gara-gara mangsa didakwa sering mengganggu adik perempuan mereka.

Suspek yang dikenali sebagai Abdul Rosyid, 28, dan Abdur Rohman, 26, penduduk Desa Mambulu Barat, daerah Sampang, Jawa Timur, didakwa membunuh pekerja kilang, Murdiono, 29, dengan menggunakan sabit di hadapan rumah mangsa.

Menurut Ketua Bahagian Operasi (KBO) Unit Siasatan Jenayah (Sat Reskrim), Polis Pasuruan, Iptu Sunarti, kejadian bermula apabila adik perempuan suspek yang hanya dikenali sebagai HH, mengadu kepada kedua-dua abangnya bahawa dirinya sering diganggu oleh mangsa.

"HH memberitahu abangnya (suspek) bahawa mangsa sering mengugut untuk merogolnya," kata Iptu pada Rabu, memetik laporan Detik.

Menurut Iptu, mangsa malah pernah mengganggu adik suspek yang berusia 22 tahun itu dengan menunjukkannya video lucah, selain mengajak gadis berkenaan melakukan hubungan seks.

Berang selepas mendapat tahu adik perempuan mereka kerap diganggu, kedua-dua suspek pergi ke rumah mangsa yang terletak di Desa Beji, pada pagi Rabu, lalu membunuh mangsa di depan keluarganya.

"Mayat mangsa mengalami banyak kesan luka akibat terkena sabit," kata Iptu.

Kedua-dua suspek menyerah diri kepada penduduk kampung selepas membunuh mangsa, dan kemudian diserahkan kepada polis.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain