SEORANG pelajar berusia 13 tahun dari Tanjungpinang, Kepulauan Riau, Indonesia, meninggal dunia selepas memakan ubat yang diambil di pusat kesihatan masyarakat, lapor Detik. Menurut ibu mangsa yang hanya dikenali sebagai Lia, dia membawa anaknya ke Pusat Kesihatan Masyarakat Sei Jang, pada Selasa (9 Julai) selepas remaja itu mengadu sakit. "Doktor tanya sakit kepala atau tidak, anak saya kata dia sakit, kepala berdenyut-denyut. Kemudian saya tanya doktor sama ada tekanan darah anak saya tinggi tak? Doktor kata tekanan darah tidak perlu diukur lagi. "Saya diberi preskripsi ubat dan ambil di farmasi. Anak saya diberi lima jenis ubat. "Sesampai di rumah, saya berinya ubat. Lama-kelamaan anak saya kata mengantuk, kemudian dia tertidur. Tidak lama kemudian, kira-kira lima hingga 10 minit, anak saya sawan. Berbuih mulut dan hidungnya," ceritanya. Lia segera membawa anaknya ke pusat kesihatan dan ketika diberi rawatan, remaja itu disahkan meninggal dunia. "Saya tanya ubat apa yang diberikan kepada anak saya, tiada orang di pusat kesihatan menjawab. Kemudian saya dipanggil doktor dan memberitahu anak saya sudah meninggal dunia," ujarnya. Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Kesihatan Bandaraya Tanjungpinang, Rustam, mengakui pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut. "Ada laporan kepada pejabat kesihatan. Tiada kecuaian di pihak pengendali, ia mengikut SOP," kata Rustam. Ujarnya, daripada laporan pusat kesihatan itu, ubat yang diberikan kepada mangsa termasuklah ubat loya dan cirit-birit. Ujarnya lagi, kes berkenaan kini sedang dalam siasatan polis. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube