SEORANG lelaki di daerah Candi, Sidoarjo, Jawa Timur ditemui mati tergantung di dalam bilik tidurnya, disyaki kerana tertekan gara-gara gagal mendapat pekerjaan. Ketua Polis Candi Pesuruhjaya Eka Aggriana berkata, mayat mangsa yang hanya dikenali sebagai HD, 25 tahun, ditemukan di dalam bilik tidur oleh ibunya pada pukul 8.00 pagi Isnin (22 Julai). "Apabila ibu bapanya pulang dari kerja, selalunya mangsa yang membuka pintu. Tetapi hari itu tiada sesiapa yang membukanya," kata Eka, memetik laporan Detik. Disebabkan itu, ujar Eka, ibu mangsa mencari keberadaan anaknya di bilik tidur. Bagaimanapun, pintu bilik mangsa berkunci dari dalam. Ibu bapa mangsa nekad memecahkan pintu bilik tidur selepas tiada respon, namun akhirnya terkejut apabila menemui jasad anak mereka yang tergantung. Eka berkata, daripada hasil pemeriksaan, tiada kesan keganasan ditemukan pada tubuh mangsa. "Daripada cerita ibu bapanya, dikatakan mangsa sudah dua tahun tamat belajar di sebuah universiti di Bandung dan langsung tidak mendapat pekerjaan. "Sebenarnya mereka sekeluarga juga sudah berusaha mencari peluang pekerjaan untuk mangsa, namun tak berhasil," tambah Eka. Ujarnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Bhayangkara Porong untuk pemeriksaan lanjut. Sebagai peringatan bersama, perbuatan membunuh diri adalah dilarang dalam Islam. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube